Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan melindungi sesiapa jika ada bukti dan asas kukuh untuk mengheret mereka ke mahkamah.
''Kita tidak langsung mahu melindungi tetapi kita juga tidak mahu nak menghukum di peringkat awal ini hanya kerana sudah ditahan seolah-olah sudah terbabit.
''Tetapi dari segi tindakan pihak berkuasa menahan tiga orang semalam dan kalau ada bukti penyelewengan dan elemen rasuah berlaku, kita memang tidak akan bertolak ansur.
''Sekarang terserah kepada bidang kuasa hakim untuk menentukan sebarang bentuk hukuman kes-kes yang telah dibawa ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Muhyiddin mengulas mengenai tiga orang yang didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan pecah amanah dalam skandal PKFZ.
Mereka yang ditahan ialah bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang; Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51, dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, tindakan mendakwa tiga orang itu di mahkamah adalah tindakan pertama pihak berkuasa terhadap mereka yang disyaki.
Bagaimanapun beliau membayangkan ada lagi individu-individu yang akan didakwa di mahkamah berhubung skandal tersebut.
Muhyiddin menegaskan, kes ini masih belum selesai walaupun tiga orang sudah didakwa di mahkamah.
''Kita tidak kata mereka sudah melakukan melainkan sehingga disabitkan di mahkamah tentang salah laku yang dibuat.
''Ia sama ada kesalahan kecil atau besar, RM6 juta atau RM60 juta biarlah mahkamah yang akan menentukan," katanya lagi.
Muhyiddin menambah, pihak berkuasa sudah mempunyai laporan-laporan asas berhubung skandal PKFZ berdasarkan siasatan yang telah dijalankan oleh pihak akauntan sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, laporan-laporan itu akan digunakan sebagai asas untuk melihat ada penyelewengan berlaku dan mendakwa mereka yang terlibat.
-------> hmmm skandal RASUAH dan penyelewangan lagi? sampai bila rakyat Malaysia akan terus dihujani dengan skandal berprofil tinggi seperti ini? apakah punca dan apakah pula penyelesaiannya? ....