Memanjang lebih 20 kilometer ke selatan The Hague, projek itu adalah satu daripada 'perang tidak berkesudahan' kerajaan bagi mengatasi masalah peningkatan paras laut disebabkan pemanasan global.
"Disebabkan kedudukannya yang rendah, Belanda sangat sensitif kepada perubahan iklim," kata Timbalan Menteri Pengurusan Air Belanda, Tineke Huizinga, selepas melawat tapak projek di Monster itu.
Menurut Huizinga, jika paras laut meningkat, Belanda akan terancam. Bagaimanapun, katanya, negara itu masih bernasib baik kerana pantainya masih selamat setakat hari ini.
Cuma, katanya, projek berkenaan mesti dijalankan demi masa depan warga Belanda.
"Kami melabur untuk keselamatan rakyat yang akan tinggal di sini 50 tahun akan datang," katanya.
Lebih 18 juta meter padu pasir - cukup untuk mengisi 7,200 kolam renang bersaiz Olimpik - bersedia dicurahkan ke kawasan pantai di sepanjang Monster sehingga 2011 bagi membentuk beting pasir.
Projek itu diluluskan tahun lalu dengan kos kira-kira RM680 juta.
Pasir dasar Laut Utara disedut kira-kira 15 kilometer dari pantai menggunakan dua bot khas yang bertugas bergilir-gilir 24 jam sehari.
Ia kemudian dipindahkan ke pantai menggunakan saluran paip.
Jengkaut kemudian mengambil alih tugas menyusun pasir berkenaan untuk membentuk beting di pantai dan menjarakkan keluasan pantai sedikit demi sedikit.
Ketua Pencegahan Banjir Monster, Michiel van Haersma Buma, berkata mereka tiada pilihan kecuali menambak pasir bagi menambah keluasan pantai sehingga ke laut.
"Secara relatif, pantai Belanda sempit, manakala kawasan penempatan yang padat terletak tidak jauh dari beting pasir.
"Tidak cukup kawasan untuk membina beting pasir kecuali menambak laut bagi melebarkan pantai," katanya.
Beting pasir dan pantai itu - dengan keluasan di antara 30 hingga 60 meter - dibina sehingga 10 meter lebih tinggi dari paras laut.
Bagi mengukuhkan kedudukannya, kerajaan menanam rumput khas di atas beting berkenaan.
"Lebih banyak beting dibina, lebih sedikit air melimpah masuk dan mengurangkan risiko pencemaran air tawar di darat," kata Haersma Buma.
Apabila siap, projek itu akan mengubah sehingga 20 kilometer pantai di kawasan berkenaan.
Panjang anjuran pantai juga meningkat sehingga 200 meter ketika air surut berbanding 180 meter sebelum ini.
Pertaruhan terhadap kejayaan projek itu juga besar.
Sehingga 65 peratus daripada pengeluaran dalam negara kasar Belanda datang dari kawasan yang terletak di bawah paras laut.
Kata Huizinga, kerajaan mahu memastikan penduduk Belanda mampu hidup dan bekerja dalam suasana keselamatan masing-masing terjamin.
"Ia memang pelaburan besar, tetapi ia dianggap kecil berbanding kesan buruk berlaku terhadap ekonomi dan ancaman sosial - termasuk kehilangan nyawa - jika ia tidak dilakukan," katanya.
Sementara itu jurucakap Kementerian Pengurusan Air, Marie-Christine Lanser-Reusken, berkata kerajaan dijangka mengumumkan program perlindungan baru terhadap ancaman pemanasan global tahun depan.
Katanya, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM5.1 bilion setahun mulai 2020.
September tahun lalu, sebuah suruhanjaya lantikan kerajaan memberi amaran, Belanda mesti membelanjakan lebih RM504.6 bilion pada abad akan datang untuk menaik taraf beting dan pelebaran pantai.
Suruhanjaya itu menjangkakan, air laut meningkat di antara 0.65 hingga 1.3 meter menjelang 2100.
Banjir besar pada 1953 mengorbankan 1,835 orang selain memusnahkan kediaman lebih 72,000 warga Belanda apabila 200,000 hektar tanah di Zeeland, Noord Brabant dan Zuid-Holland dinaiki air. - AFP
sila beri komentar... agaknya apakah solusi kepada masalah alam sekitar yang mengancam dunia ketika ini? Mungkinkah satu hari nanti Malaysia juga akan jadi seperti Belanda?